KUALA LUMPUR: Petugas Kementerian Kesihatan bertungkus-lumus menjalankan saringan COVID-19 di Masjid Sri Petaling, di sini sejak dua hari lepas setelah seorang peserta perhimpunan tabligh yang diadakan di masjid itu pada 28 Feb, disahkan positif virus itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pasukan kementerian telah mendapat kerjasama penuh daripada semua pihak iaitu peserta, petugas dan pelajar.

“Pegawai kesihatan kami dari Lembah Pantai disokong oleh petugas dari negeri lain untuk mengesan dan menjejaki semua peserta.

“Ia sememangnya tugas yang besar dan menakutkan, namun kita perlu bersedia untuk berkongsi tanggungjawab kerana semua orang dapat membantu melindungi diri mereka dan masyarakat,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata masjid itu akan ditutup buat sementara untuk kerja-kerja disinfeksi.

Dr Adham juga menggesa mereka yang menyertai perhimpunan itu supaya segera diuji jika mereka mula mengalami gejala virus itu. – Bernama