KUCHING: Kenyataan Ahli Parlimen Sri Aman Datuk Masir Kujat yang mendakwa dirinya ditawar oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan menteri adalah bohong.

Ketua masyarakat Simunjan Pemanca Peter Mooney mempersoalkan kedudukan Masir pada pandangan Perdana Menteri berdasarkan parti yang diwakilinya sekarang. “Kami tidak percaya kepada dakwaan Ahli Parlimen Sri Aman itu yang memberitahu Perdana Menteri menawarkan jawatan timbalan menteri kepadanya.

Peter Mooney

“Tiada siapa akan percaya kepada ahli parlimen yang selalu melompat parti,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Peter berkata, kini rakyat mula berfikir bahawa ahli politik sebegitu tidak mempunyai prinsip yang jelas dan hanya mementingkan diri. Tambahnya lagi, kenyataan Masir itu hanya untuk meminta belas kasihan rakyat sahaja.

Sementara itu, Penghulu Johnny Limi dari Daerah Pantu pula berkata, kenyataan Masir itu hanyalah kata-kata manis untuk mengaburi mata rakyat dan meminta belas kasihan. “Sejak Masir meninggalkan GPS, rakyat rasa tertipu sebab kami yang berkempen supaya dia menang. Lepas menang dia lari.

“Sekarang peruntukan RTP RM5 juta dan MRP RM2 juta untuk pembangunan luar bandar bagi Ahli Parlimen Sri Aman telah hilang. “Malah dia tiada kuasa di pejabat Kerajaan Negeri dan Persekutuan kerana sekarang telah menjadi pembangkang,” ujarnya.

Tambah Johnny lagi, beliau tidak melihat perubahan besar dari sudut pembangunan yang dibawa oleh Masir ke Sri Aman.

Johnny Limi

Selasa lalu, Masir semasa merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Julia Alam, Kedumpai Ili berkata, beliau pernah ditawar oleh Perdana Menteri menjadi timbalan menteri.

Namun menurut Masir, tawaran itu ditolak olehnya kerana beliau takut dipecat oleh Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Malah katanya, beliau juga belum mendapat keyakinan terhadap kepimpinan Muhyiddin apabila Pakatan Harapan (PH) menyatakan akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri itu pada sidang Dewan Rakyat, Mei nanti.