KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing berharap Perikatan Nasional (PN) tidak akan campur tangan dalam urusan PRN-12 Sarawak akan datang.

Beliau yang juga Presiden PRS berkata, keutamaan mereka adalah untuk menentang PKR dan DAP. “Perjuangan utama kami (GPS) kemungkinan besar adalah untuk menentang PKR dan DAP,” katanya kepada media selepas menyampaikan geran MRP di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur di sini, semalam.

Masing berkata: “Saya tidak dapat mengesahkan bahawa PRN akan diadakan pada tahun ini. Tetapi kebiasaannya, pilihan raya kemungkinan besar akan diadakan pada tahun keempat selepas PRN yang terakhir.”

Katanya, memandangkan tahun ini adalah tahun keempat sejak PRN pada 2016, maka ketika ini ahli politik mula menggerakkan jentera pilihan raya untuk bertanding dalam PRN akan datang.

“Selalunya PRN jarang menunggu sehingga tahun kelima. Kita akan kembalikan kuasa kepada rakyat dan membiarkan mereka (rakyat) memutuskan sama ada mereka masih mahu kita lagi,” katanya.

Dengan pelbagai kekecohan yang berlaku terhadap parti lawan, Masing percaya jika PRN diadakan, ia akan memihak kepada kerajaan yang memerintah kini. “Mereka (pembangkang) belum dapat bersatu lagi. Sekiranya mereka bersatu, kita akan menghadapi perjuangan yang lebih sukar, tetapi pada masa ini, mereka belum ada.

“Tetapi ini bukan sebab utama kami memilih PRN pada tahun ini… cuma apabila mereka berada dalam kekecohan dan pada masa masa (dan kebetulan) ini adalah tahun keempat sejak PRN yang terakhir, jadi ia bertepatan,” jelasnya.