KUCHING: Sebanyak 39 penerima dari Dun Baleh dan kawasan lain menerima geran MRP Fasa 1 di Bahagian Kuching berjumlah RM336,000 baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing berkata, geran itu diberikan kepada penerima yang terdiri daripada JKKK, kelab, persatuan, biro wanita dan PIBG. “Hari ini (semalam) saya memberi bantuan geran kepada semua mereka yang memohon di luar kawasan.

“Tetapi masih ada baki MRP pada tahun ini yang akan disimpan untuk kawasan saya sendiri supaya rumah panjang dan NGO di kawasan saya juga mendapat bantuan,” katanya.

Masing berkata demikian kepada media selepas menyampaikan geran MRP kepada penerima di pejabatnya, Bangunan Baitulmakmur di sini, semalam.

Beliau turut memberitahu telah memberi geran MRP kepada NGO di seluruh Sarawak kecuali di kawasannya sendiri. “Sebab itu, baki MRP ini saya simpan untuk mereka,” ujarnya.

Selain itu, Masing memberitahu akan memberi geran MRP yang sama kepada mereka yang memohon untuk tahun 2021 sambil meminta supaya rakyat negeri ini sentiasa menyokong GPS.

Terdahulu, Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan telah memberi MRP Fasa 1 kepada mereka yang memohon di kawasan Kapit. Pada masa itu, Pusat Khidmat Adun Baleh turut memberi insentif pelajar cermelang sebanyak RM1,000 kepada empat murid.