BINTULU: Empat murid Sekolah Kebangsaan(SK) Kelawit, Tatau membawa cabaran Sarawak ke Kejohanan Bocce Raffa Kebangsaan 2020 yang berlangsung di Kota Baharu, Kelantan pada 13 hingga 15 Mac ini.

Masing–masing dua murid lelaki dan perempuan sekolah iaitu Ivan Danory Danetey, Syed Abdul Hazim Sayed Malek, Katherina Ceria Kalang dan Bathsheba Claire Anak Ibai akan bersaing dalam empat kategori iaitu perseorangan lelaki dan perempuan serta Beregu lelaki dan perempuan Junior dan Senior.

Kejohanan ini merupakan julung kali diadakan di Peringkat Kebangsaan sempena Tahun Melawat Kelantan.

Menurut Presiden Bocce Negeri Sarawak, Sophie Shariee, permainan bocce ini baru sahaja diperkenalkan di Malaysia bermula Jun 2019, manakala di Negeri Sarawak, ia mula diperkenalkan pada Disember 2019.

Katanya, semua negeri di Malaysia sudahpun mempunyai persatuan bocce negeri masing-masing kecuali Sabah dan Melaka.

Permainan ini berasal dari Itali dan dihasilkan berasaskan permainan petanque dan boling padang, ujarnya ketika ditemui pada majlis ringkas penyerahan bendera Negeri di lobi Lapangan Terbang Bintulu, pagi tadi.

Sementara itu, guru besar SK Kelawit merangkap penaung Kelab Bocce SK Kelawit, Janudin Ab.Rahman menzahirkan tahniah kepada empat murid sekolah berkenaan yang terpilih mewakili Negeri Sarawak ke kejohanan tersebut.

Beliau berkata SK Kelawit bertuah kerana dapat mewakili negeri Sarawak ke Peringkat Kebangsaan.

Justeru, beliau berharap mereka dapat bermain bersungguh-sungguh, disamping dapat menimba pengalaman dalam kejohanan tersebut.

Katanya lagi, pihak sekolah dengan kerjasama pihak Pejabat Pendidikan Daerah Tatau/Sebauh telah membina sebuah gelanggang bocce yang pertama di negeri Sarawak manakala dua orang guru sekolah ini telah dihantar untuk mengikuti kursus jurulatih bocce anjuran Persekutuan Bocce Malaysia pada penghujung tahun lalu.

Pada masa yang sama, Janudin turut merakamkan penghargaan kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Pejabat Pendidikan Daerah Tatau/Sebauh kerana memberi sokongan dalam menyertai kejohanan ini selain terima kasih kepada Persatuan Bocce Negeri Sarawak atas pembayaran ke kejohanan yang merangkumi pengangkutan, penginapan dan makan minum.