KUCHING: Suara Sabah dan Sarawak perlu diangkat di peringkat kebangsaan khasnya melalui pelantikan beberapa ahli parlimen dari kedua-dua negeri ini sebagai menteri dan timbalan menteri kabinet Persekutuan.

Ahli Parlimen Belia Sarawak dari Kapit Reily Repai Meringgai berkata, formula kabinet PN+GPS memberi gambaran kukuh bahawa perwakilan dari Sarawak amat penting berbanding ketika dipimpin kerajaan PH sepanjang 22 bulan lalu.

“Pesonaliti ahli parlimen dari Sarawak merupakan sinar baharu dan menambah rencah dalam polisi pembangunan Malaysia. Semestinya ia akan mengambil kira kepentingan rakyat Sarawak,” katanya kepada Suara Sarawak.

Reily berharap lebih banyak polisi yang memihak kepada rakyat digubal dan pada masa sama mendengar suara belia dari bandar dan luar bandar.

Baginya, Menteri Belia dan Sukan Malaysia pula harus pergi ke luar bandar untuk melihat sendiri keperluan belia dan paling penting, berjuang untuk gaji minimum lepasan universiti.

Reily Repai Meringgai

Sementara itu, Ahli Parlimen Belia Sarawak dari Bintulu Debbie Gibson Medan berharap semua menteri yang dilantik lebih berintegriti dan bersih dalam menjalankan tanggungawab.

Dia tidak mahu isu seperti pengubahan wang haram berulang kerana bukan sahaja memburukkan nama Malaysia, malah membuatkan rakyat menderita.

“Perdana Menteri telah membuat pilihan terbaik kerana barisan menteri yang dilantik adalah gabungan parti politik, usia tua dan muda serta veteran.

“Ini kekuatan kerajaan campuran yang dibentuk hari ini,” katanya. Debbie mahu lebih banyak penglibatan rakyat secara langsung melalui idea dan cadangan dalam membentuk perubahan negara.

“Seperti situasi hari ini, Perdana Menteri perlu memperkenalkan pelan rangsangan ekonomi yang lebih besar, menawarkan pembaharuan pragmatik pendidikan, berusaha mewujudkan suasana autonomi, dinamik dan bebas untuk bersuara di institusi pendidikan tinggi dan mengumumkan langkah kesihatan yang ketat untuk memerangi Covid-19.

“Sebagai belia, saya mahu Perdana Menteri mengukuhkan kedudukan belia negara dengan menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi, kepimpinan yang stabil dan kebebasan bersuara,” tambahnya.

Debbie Gibson Medan