KUCHING: Bimbang akan keselamatan suaminya, Norida Wet, 22, bertindak menularkan gambar suaminya, Muhammad Farid Abdullah, 33 yang hilang sejak 29 Februari lalu.

Melalui perkongsian yang tular di Facebook, Norida meminta bantuan orang ramai untuk mencari Farid atau nama keduanya, Shermmane Backly Baun atau dengan panggilan mesra Simon.

Malah, menurut Norida yang berasal dari Asajaya, laporan polis telah dibuat pada 3 Mac lalu.

Dalam perkongsiannya, Norida memberitahu, lokasi terakhir suaminya itu diketahui ialah di Jalan Petanak untuk bertemu dengan rakannya.

Bagaimanapun, menurutnya, sehingga semalam, suaminya tidak dapat dihubungi malah rangkaian telekomunikasi dipadam.

Justeru, beliau meminta orang ramai dapat menghubunginya sekiranya terjumpa suaminya itu.

Lebih menyedihkan, anak mereka, demam sejak ayahnya hilang.