SIMUNJAN: Usaha untuk menjadikan puncak Gunung Ngeli dekat sini sebagai antara tarikan pelancongan di Sarawak akan menjadi lebih hebat.

Ini harapan penduduk di kawasan Simunjan apabila Ahli Parlimen Batang Sadong Datuk Seri Nancy Shukry dilantik sebagai Menteri Pelancongan dan Kebudayaan dalam Kabinet Persekutuan baru baru ini.

Ahli Majlis Daerah Simunjan Kaunselor Rosita Poni berkata, beliau yakin Nancy akan memberikan tumpuan untuk membantu membangunkan kawasan Gunung Ngeli selain tugas utamanya membangunkan industri pelancongan negara.

“Kami amat bangga apabila Nancy disenarai sebagai salah seorang anggota jemaah menteri persekutuan serta memegang portfolio Pelancongan dan Kebudayaan.

“Sehubungan ini, kami amat berharap agar Nancy turut membangunkan tempat menarik dan bersejarah di Simunjan ke mata dunia terutama Taman Rekreasi Gunung Ngeli,” katanya mengulas pelantikan Nancy sebagai Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Rosita yang juga Ketua Wanita PBB Simunjan berkata, sejak dibangunkan oleh Majlis Daerah Simunjan, Taman Rekreasi Gunung Ngeli sentiasa menjadi tumpuan orang ramai khususnya penduduk berhampiran untuk beriadah.

Katanya, menarik di puncak Gunung Ngeli, pengunjung akan dapat melihat keindahan pemandangan kawasan Simunjan, malah kawasan Gedong dengan jelas jika keadaan cuaca cerah.

Difahamkan, selain mempunyai tasik yang airnya mengalir lesu, kawasan Gunung Ngeli turut mempunyai flora dan fauna yang menarik seperti beberapa pokok atau tumbuhan herba.

Malah Gunung Ngeli pernah dijadikan tempat lombong arang batu dari era pemerintahan Rajah Brooke hingga ke zaman pendudukan tentera Jepun antara 1874 hingga 1931.

Mengenai kebudayaan, Rosita berharap Nancy turut membantu dan mempopularkan pelbagai budaya dan ada resam masyarakat pelbagai kaum di Simunjan.

Menurutnya, ini bertepatan kerana Nancy adalah pencinta seni dan budaya.