KUCHING: Seorang kontraktor binaan yang dibicarakan kerana disyaki merogol dua anak saudaranya (adik beradik) akan mengetahui nasibnya setelah Mahkamah Sesyen menetapkan 9 April depan bagi menentukan nasibnya kelak.

Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga mengarahkan lelaki berusia 46 tahun itu dibebaskan dengan jaminan lanjut setelah dibicarakan.

Tertuduh berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang setiap satu pertuduhan boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi kes pertama, tertuduh didakwa merogol anak saudaranya (perempuan) yang berusia 14 tahun pada Februari 2018 di sebuah rumah di Kampung Batu Kitang di sini.

Sementara bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol kakak mangsa pertama berusia 15 tahun pada Julai 2018 di tempat yang sama.

Untuk kes ketiga, tertuduh disyaki merogol mangsa yang sama pada 12 Ogos di tempat yang sama.

Pada perbicaraan kes, enam saksi pendakwaan telah memberikan keterangan termasuk mangsa (dua beradik) itu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurfazdlin Mahmad Zulhasnan sementara tertuduh diwakili peguam Wit Malang.