BINTULU: Penduduk pedalaman yang membina rumah panjang yang baharu perlu mendapatkan perlindungan insurans agar tidak terbeban dengan kerugian yang teruk sekiranya berlaku kebakaran.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri, (Undang – Undang dan Adat Bumiputera), Datuk John Sikie Anak Tayai berkata, dengan adanya perlindungan insurans, mereka boleh mendirikan rumah baharu dan memulakan kehidupan baharu jika berlaku sebarang kemusnahan akibat bencana seperti banjir, ribut dan kebakaran.

Beliau berkata dengan adanya perlindungan insuran, dapat meringankan beban yang ditanggung penghuni jika berlaku sebarang kemusnahan akibat bencana seperti itu.

ADUN Kakus itu turut menasihati penduduk yang ingin membina rumah panjang baharu menitikberatkan ciri ciri keselamatan bagi mengelak bencana kebakaran.

Contohnya mempunyai jarak atau ruang antara bilik dan ruai dengan bahagian dapur, ujarnya berucap pada program Ngentak Rumah Panjai Baharu di Rumah Sulang, Batu 88, Jalan Tatau- Selangau,hari ini.

 

Pada masa yang sama, John Sikie turut mengingatkan penduduk yang berhasrat untuk membina rumah panjang baharu agar tidak mendirikan rumah di kawasan simpanan(reserve) jalan bagi mengelak permasalahan berlaku jika jalan tersebut diperbesarkan pada masa akan datang.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luarbandar(MRP) sebanyak RM500,000.00 kepada JKKK Rumah Sulang.

Sementara itu, Tuai Rumah Sulang berkata pembinaan rumah panjang baharu itu dibuat berikutan penduduk terpaksa berpindah lantaran kawasan rumah panjang lama mereka terbabit dalam pelaksanaan projek pembinaan lebuh raya Pan Borneo.

John Sikie melakukan simbolik ‘ngentak’ tiang Rumah Sulang yang baharu.