Terdiam. Itulah pemandangan di atas dahan pokok tua yang sudah lama hidup di tengah hutan sunyi yang kaya. Di atas dahan itu ada seekor ular hijau yang menjelirkan lidahnya yang bercabang, rodensia gemuk dan burung Kukabura yang suka ketawa bagi menandakan daerah kekuasaannya.

Sebelum terjadinya pertemuan antara mereka bertiga, si Kukabura ketawa lantang seperti biasa pada setiap pagi. Memberitahu dia di situ dan ketawa itu disahut oleh kumpulan Kukabura yang lain, yang bertengkek di pokok besar yang menjadi tanda kawasan mereka. Cuma, ketawa si Kukabura itu menyakitkan hati si ular hijau Dendrelaphis.

“Berhenti ketawa! Nanti aku makan kau!”

“Cubalah kalau boleh. Jangan kata mahu makan aku… mahu ketawa pun kau tak boleh. Hidup kau bosan, muka kau penuh dengki.”

Kemudian, si Kukabura ketawa lagi. Menyakat. Itulah kesukaannya. Si ular hijau pula biasanya akan naik marah lalu meluru ke arah si Kukabura tapi akhirnya mampu mendarat di hujung dahan saja. Melihat si Kukabura terbang  ke udara dengan megahnya.

Pada pagi yang indah, si Kukabura terbang sederhana rendah dan melihat si rodensia gemuk, si tupai merah Eurasia berlari laju lalu memanjat pokok bersama kekacang penuh di pipinya. Si Kukabura pun datang menyinggah dan menegur.

“Oo, Cik Tupai. Ini mesti dikejar ular. Itulah, kau asyik makan. Berat bertambah.”

“Ah, si ular memang macam itu. Semuanya nak dimakan. Kau pun sama juga, jangan asyik ketawa saja. Senang ular nak cari kau.”

Kemudian, si tupai merah bergegas pergi apabila si Kukabura berkicau geram. Pandai si tupai menyindir aku, omel si Kukabura. Tapi sejujurnya si Kukabura bimbang. Sudah beberapa hari dia melihat banyak pemangsa datang ke kawasan mereka. Mangsa-mangsa kecil seperti mereka dikelilingi bahaya.

Kemudian si Kukabura terdetik mahu meninjau. Dia perlu terbang lebih tinggi. Bermakna dia terdedah dengan pemangsa seperti helang. Tapi dia mahukan kepastian agar kebimbangannya reda. Lalu si Kukabura pun terbang lebih tinggi berbanding biasa.

Matanya menatap langit, awan berarak gelap. Lebih gelap dan tiba-tiba saja muncul di langit. Ini bukan petanda hujan, getus si Kukabura. Awan itu terlalu hitam, membentuk kabut yang merayap menelan pepohon hijau yang tegak berdiri. Rupa-rupanya, sudah banyak kawasan ditelan kabut hitam itu. Si Kukabura baru menyedarinya pada pagi ini! Lantai, si Kukabura memekik mencari si tupai merah.

“Cik Tupai! Jangan berlari ke arah sana! Ada awan hitam!”

“Masih jauhkah?” tiba-tiba si tupai merah muncul semula di sebalik dahan pokok, bertanya hairan.

“Aku tak pasti. Tapi awannya bertambah besar. Hitam. Cepat pula pergerakannya. Mungkin ini yang menyebabkan ramai haiwan lari ke mari!”

“Ah, ini bahaya!” si tupai merah, mula panik. Lalu, si tupai merah pun cepat-cepat lari tapi si ular hijau muncul tiba-tiba lalu menangkap si tupai merah. Si Kukabura terkejut.

“Akhirnya, aku dapat juga perangkap kau!”

“Ya, kau dapat perangkap dia. Tapi aku rasa kita semua terperangkap,” ujar si Kukabura, ketakutan.

Si ular hijau dan si tupai merah menoleh ke belakang. Awan hitam masih belum kelihatan. Tapi bau belerang hangat meruap, datang bersama angin. Akhirnya mereka bertiga terdiam. Dada terasa sesak. Awan hitam datang bersama api.

Coretan Shield Sahran