PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mahu dunia mengisytiharkan perang ke atas virus COVID-19, hanya dua hari selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan wabak itu sebagai pandemik.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berkata “Kita mesti mengisytiharkan perang terhadap virus ini”, lapor agensi berita Xinhua.

“Ini bermakna setiap negara mempunyai tanggungjawab untuk meningkatkan langkah pencegahan dengan melaksanakan strategi berkesan, mengaktifkan segala sistem tindak balas kecemasan, termasuk keupayaan sistem mengesan dan penjagaan pesakit,” katanya.

Di samping menjadi krisis kesihatan awam, virus itu turut menjejaskan ekonomi dunia, katanya.

Beliau turut memberi amaran, dunia bakal menyaksikan pasaran kewangan terjejas teruk akibat ketidakpastian; rantaian bekalan global terganggu; pelaburan dan permintaan pengguna merosot dan risiko meningkatnya kemelesetan ekonomi.

Ahli ekonomi PBB menganggarkan krisis COVID-19 boleh mengakibatkan ekonomi dunia tahun ini kerugian sekurang-kurangnya US$ 1 trilion atau mungkin lebih, kata Guterres.

“Ini adalah masa untuk bertindak dengan lebih bijak dan cermat, bukannya panik. Walaupun situasi itu diklasifikasikan sebagai pandemik, ia adalah satu keadaan yang dapat kita kawal,” katanya.

“Kita boleh melambatkan penularan, mencegah jangkitan dan menyelamatkan nyawa, tetapi ia memerlukan tindakan bersepadu semua pihak di seluruh dunia,” katanya.