KUCHING: Seramai 39 orang pelajar dan enam orang pensyarah Unimas menyertai Projek Service Learning Malaysia-University For Society (Sulam) bertempat di Kampung Sungai Putin, Sadong Jaya baru-baru ini.

Projek Sulam yang dikelolakan oleh Fakulti Alam Bina Unimas (FAB) merupakan salah satu inisiatif daripada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menggabungkan pembelajaran di dalam kelas dengan khidmat komuniti.

Dalam ucapan ringkas sempena perasmian projek Sulam, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FAB Unimas, Abdul Wafi Razali berkata projek Sulam diterapkan di dalam kursus Building Services yang terdapat dalam dua program FAB iaitu program Senibina dan program Ukur Bahan.

Beliau berkata, projek tersebut bertujuan untuk membantu menyelesai masalah penduduk di kampung yang terpilih seperti mendapatkan bekalan air yang bersih menerusi sistem tadahan air hujan dan tapisan yang sesuai.

“Masalah yang dihadapi ini diharap dapat berkurang dengan pembinaan sistem tadahan air hujan dan tapisan yang sesuai untuk kegunaan penduduk setempat “Ini bertepatan dengan tanggungjawab Unimas dengan menyumbang ilmu pengetahuan serta kepakaran bagi memperbaiki kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat setempat,” ujarnya.

Beliau berharap projek seperti Sulam dapat membantu mengubah kualiti hidup masyarakat luar bandar dan menjadi platform untuk menyumbang kepakaran serta membudayakan nilai asas kemanusiaan dalam warga Unimas.

Sementara itu, dua lokasi di Kampung Sungai Putin dipilih dalam projek ini iaitu Balai Raya dan Masjid Kampung Sg Putin. Pelajar FAB juga membuat sistem tadahan air hujan dan tapisan untuk digunakan di dua tempat berkenaan bagi memastikan air tadahan hujan berada ditahap yang memuaskan untuk kegunaan penduduk setempat.