ROM: Satu video tular di media sosial menunjukkan ribuan rakyat Itali bernyanyi dan menari di rumah mereka ketika negara diisytiharkan darurat akibat penularan Covid-19.

Rakaman video itu menunjukkan suasana di beberapa bandar dan wilayah, dengan rakyat Itali menyanyi di balkoni serta tingkap rumah ketika menghadapi virus yang diisytihar sebagai pandemik itu.

Media Itali sebelum ini melaporkan semua jenis aktiviti perniagaan termasuk kedai dan restoran masih ditutup di seluruh negara itu.

Itali merupakan salah satu negara paling teruk terjejas akibat Covid-19 dengan 17,660  kes disahkan dan 1,266 kematian setakat ini.

Menerusi perkongsian di Twitter oleh seorang warga Itali, Valemercurii menunjukkan jirannya menyanyi lagu patriotik Itali di Wilayah Tuscany, di pusat ibu kota negara itu.

“Rakyat kampung halaman saya di Siena menyanyi lagu popular dari rumah mereka di lorong perumahan yang sunyi sepi waktu malam untuk menenangkan hati dan fikiran ketika berdepan ancaman Covid-19,” tulisnya.

Manakala pengguna Twitter, Ryan Meilak berkongsi video rakyat Itali di perumahan flat Naples berdiri di balkoni kediaman masing-masing dan menyanyikan lagu bertajuk ‘Abbracciame’ yang bermaksud ‘Peluk saya’ bagi menghilangkan tekanan serta mengembalikan keceriaan semula dalam kalangan penghuni itu.