KUCHING: Semua pelawat asing dan domestik yang masuk dan pulang ke Sarawak, akan dikeluarkan dengan Notis Berkurung (SHN) selama 14 hari, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata ini termasuk penduduk Sarawak, pemegang pas jangka panjang dan jangka pendek.

“Ini akan berkuat kuasa pada 18 Mac 2020,” katanya pada sidang media di pejabatnya, Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian serta Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Menurut Abang Johari, agensi berkaitan akan memantau pemegang SHN melalui lawatan rawak, panggilan telefon dan aplikasi teknologi moden.

Katanya pengecualian hanya diberikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri kepada mereka yang dikehendaki untuk melakukan perjalanan di bawah keadaan khas (tugas rasmi dan perniagaan).