KUCHING: Seorang lelaki warga emas maut dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Tun Razak, di sini sekitar jam 1.35 petang tadi.

Mangsa dikenali sebagai Ong Koot Bin @ Wong Kuok Ming, 73, dari Taman Hwata, Jalan Ong Tian Swee.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri Superintendan Alexson Naga Chabu berkata siasatan awal mendapati punca kemalangan daripada mangsa, yang memandu Toyota Avanza.

“Kejadian berlaku apabila mangsa yang menghala dari arah Pending menuju ke arah Simpang Tiga seorang diri telah hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan sebelah bertentangan dan berlanggar dengan sebuah kereta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Umum Sarawak (HUS).

Manakala pemandu kereta yang dilanggarnya, seorang lelaki berusia 53 tahun yang juga memandu seorang diri tidak mengalami sebarang kecederaan.

Alexson berkata mayat mangsa telah dihantar ke HUS untuk bedah siasat.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.