KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam adalah bukan Perintah Berkurung, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan adalah demi untuk keselamatan negara dan orang ramai.

“Saya ingin menjelaskan bahawa kerajaan dalam usaha untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan yang bersabit Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit yang akan berkuat kuasa pada tengah malam ini.

“Oleh itu, orang ramai diminta tidak menyebarkan berita yang tidak pasti kesahihannya atau berita palsu yang menimbulkan keresahan dan kerisauan melampau (Perintah Kawalan Pergerakan yang menyamakannya sebagai Perintah Berkurung),” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata pembelian panik tidak seharusnya berlaku kerana Perdana Menteri telah memberi jaminan bahawa bekalan masih mencukupi dan ia tidak sama seperti perintah berkurung yang tidak membenarkan rakyat keluar langsung. — BERNAMA