KUCHING: Sarawak mencatatkan kematian dipercayai berpunca daripada wabak virus COVID-19 pertama di Malaysia, hari ini.

Difahamkan, mangsa dikenali sebagai seorang Pastor yang berasal dari Kuching, sebelum ini disahkan positif COVID-19 telah meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada sekitar jam 11 pagi semalam.

Mangsa dikenali sebagai Pastor David Cheng Lip Kiong daripada Gereja Emmanuel Baptist.

Mayat mangsa yang kini berada di bilik mayat HUS diuruskan sepenuhnya oleh Pegawai Khas Perubatan HUS sehingga ke proses pengebumian bagi mencegah sebarang penularan berlaku.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) belum lagi mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kes ini.

Terdahulu, sumber kejadian berkata, mendiang dijangkiti wabak berkenaan ketika menghadiri satu majlis perkahwinan di sebuah hotel di Kuching.