KUCHING: Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyokong perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa pada 18 hingga 31 Mac ini.

Terdahulu, perintah itu dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu sidang media khas semalam susulan penularan wabak Covid-19 di Malaysia.

Menurut Dzulkefly, langkah kawalan pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri bagi menangani Covid-19 bukan perintah berkurung seperti di negara China.

“Tetapi ia pada hakikatnya ialah satu bentuk menjarakkan hubungan sosial (Social Distancing) yang sangat keras dan tegas.

“Ia bertujuan menurunkan jumlah kes dengan ‘merendahkan lengkung (jangkitan) wabak’,” katanya seperti dipetik oleh sebuah portal berita nasional semalam.

Tambah Dzulkefly, langkah itu sememangnya satu gangguan (disruption) tetapi matlamat akhirnya untuk ‘merendahkan keluk epidemik’.

“Kalau perintah berkurung atau Lockdown macam China, kamu tidak boleh keluar rumah termasuk untuk tujuan membeli makanan.

“Saya masih berpandangan bahawa perintah kawalan amat wajar dibuat pada saat ini dan mesti dilaksanakan dengan pematuhan yang tinggi dan berkesan sekali gus memastikan langkah ini akan berjaya,” jelasnya.

Ujarnya, namun jangan sampai terlepas pandang kelompok dan golongan yang paling terbeban akibat ‘perintah kawalan pergerakan’ ini.

Mulai esok, 18 Mac sehingga 31 Mac, kerajaan akan membataskan pergerakan awam dalam usaha membendung penyebaran Covid-19. Ini termasuk penutupan sekolah, IPT dan premis swasta.