BATU PAHAT: Kerajaan negeri Johor akan mengadakan satu mesyuarat khas dalam masa terdekat ini bagi membincangkan ‘nasib’ rakyat negeri berkenaan yang bekerja dan berulang-alik ke Singapura susulan perintah kawalan pergerakan yang diisytiharkan pada Isnin, bagi menyekat penularan COVID-19 di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Izhar Ahmad berkata kerajaan negeri akan mengikuti perintah kawalan pergerakan yang bermula esok demi kepentingan rakyat.

Satu mesyuarat khas akan dijalankan sama ada hari ini atau esok, membabitkan agensi yang terlibat termasuk berkaitan penduduk di negeri ini yang mencari rezeki di negara jiran Singapura.

“Kita juga akan berhubung dengan kerajaan pusat bagi membincangkannya dan hasil keputusan akan diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Ir Hasni Mohammad.

“Menteri Besar juga akan mengumumkan langkah-langkah untuk mengatasi masalah COVID-19 terutama yang membabitkan rakyat di negeri ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Difahamkan kira-kira 100,000 penduduk di negeri ini yang berulang-alik setiap hari untuk bekerja di negara seberang tambak berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Johor, Baharudin Tahir ketika dihubungi Bernama menjelaskan perintah kawalan pergerakan turut tertakluk kepada mereka yang bekerja di republik itu serta berulang-alik ke Malaysia.

“Setakat ini, mengikut pemahaman saya memang ya. Jabatan Imigresen Malaysia akan memperincikannya hari ini. Sebaik siap, kami akan keluarkan arahan atau pekeliling,” katanya.

Bagaimanapun, mereka yang mahu mengetahui lebih lanjut boleh menghubungi talian hotline 03-88882010 bermula dari 12 tengah hari ini. – Bernama