KUALA LUMPUR: Seorang penganggur hari ini didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam laman sosial Facebooknya, awal Mac lepas berhubung kemelut politik baru-baru ini.

Hakim M.M Edwin Paramjothy turut memerintahkan Ooi Wei Siong, 38, menjalani hukuman penjara tiga bulan, jika gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.

Edwin dalam penghakimannya berkata, mahkamah memandang serius gejala penghinaan seperti itu dan menyatakan kebebasan bersuara untuk menyuarakan sesuatu pendapat haruslah berpatutan dengan menggunakan bahasa, adab dan susila yang betul.

“Sungguhpun Perlembagaan Persekutuan kita memberikan kebebasan bersuara kepada rakyatnya, kebebasan bersuara ini adalah tidak mutlak. Kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak merangkumi kebebasan untuk menghina dan menganiaya seseorang.

“Dalam kes ini, yang dihina adalah tonggak pemerintahan negara kita. Adalah jelas bahawa bahasa yang digunakan dalam hantaran yang dibuat OKS (Orang Kena Saman) adalah kesat, kasar dan jelik dengan niat untuk menjatuhkan martabat dan menghina tonggak pemerintahan negara kita,” katanya.

Edwin berkata dalam membuat penilaian terhadap hukuman yang sesuai terhadap OKS, mahkamah juga mengambil kira faktor mitigasi yang berpihak kepada OKS iaitu ini kesalahan pertamanya dan pengakuan salahnya telah menjimatkan masa dan kos.

“Saya juga mengambil kira keadaan sosio ekonomi keluarga dalam tanggungan tertuduh. Ini adalah faktor-faktor yang saya ambil kira dalam tidak menjatuhkan satu hukuman berbentuk pemenjaraan terhadap OKS. Saya juga mengambil kira kekesalan dan permohonan maaf oleh OKS,” katanya.

Selain itu, Edwin berkata dalam mengambil kira faktor pemberatan dalam hukumannya, beliau setuju dengan hujahan timbalan pendakwa raya yang bijaksana bahawa kepentingan awam dalam kes ini harus diberi keutamaan.

“Hukuman yang dijatuhkan perlu mengambil kira kepentingan awam dalam menegah orang lain daripada melakukan kesalahan yang sama. Hukuman juga perlu memberi pengajaran kepada OKS dan orang lain yang berkemungkinan akan terjebak dengan kesalahan yang sama,” katanya.

Jumaat lepas, Ooi mengaku bersalah atas pertuduhan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya itu menggunakan laman profil Facebook “SAM OOI” dengan niat untuk menganiayai orang lain, pada 7.39 pagi, 1 Mac lepas.

Kenyataan itu telah dibaca dalam laman profil Facebook “Hanya di Kelate” di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman tingkat 27 Menara KPJ, pada 8.20 pagi, 2 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Annur Atiqah Abd Hadi manakala OKS diwakili peguam Ahmad Ridza Mohd Noh.