MUKAH: Jawatankuasa Pesta Kaul Mukah 2020 semalam menerusi satu kenyataan sebulat suara memutuskan pesta tersebut ditangguhkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pesta Kaul Mukah, Yakub Arbi berkata, keputusan tersebut dibuat berikutan peningkatan kes Covid-19 di Sarawak.

“Progam Pesta Kaul 2020 yang dijadual pada 12 hingga 19 April depan kita tangguhkan sementera waktu dan tarikh baharu akan diumumkan kelak.

“Keputusan ini juga adalah arahan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri pada 13 Mac lalu, yang mahu semua acara yang melibatkan perhimpunan orang ramai ditangguhkan,” katanya.

“Tindakan ini diambil sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak bagi mengurangkan penyebaran Covid-19.

“Kita amat berharap semua rakyat Mukah dan Sarawak berada dalam keadaan selamat dan sihat. “Pihak Jawatankuasa Kaul Mukah 2020 juga memohon maaf atas sebarang kesulitan,” katanya.

Selain itu, orang ramai dinasihatkan sentiasa menjaga kebersihan diri dan kerap membasuh tangan serta tidak berada di tempat awam yang sesak.