KUCHING: Semua kursus pra perkahwinan dan majlis akad nikad di Pejabat Agama Islam Bahagian, masjid dan surau di seluruh negeri ditangguhkan susulan penularan wabak Covid-19

Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dalam satu kenyataan memberitahu, keputusan itu dibuat selepas Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengeluarkan arahan berkurung yang berkuat kuasa 18 Mac.

“Bagaimanapun, pemohon yang ingin melangsungkan perkahwinan dalam tempoh terdekat boleh memilih untuk melalui proses temu duga di Pejabat Agama Islam Bahagian yang berhampiran.

“Urusan permohonan di kaunter pejabat JAIS hanya melibatkan perkara penting sahaja dengan jumlah hadir adalah minima,” tambahnya.

Katanya lagi, bagi pasangan yang ingin meneruskan majlis akad nikah di tempat selain dinyatakan itu, mereka perlu mematuhi jumlah had perhimpunan di bawah 50 orang selaras dengan kenyataan oleh Pejabat Ketua Menteri Sarawak.

“Perlu diingatkan, semua orang harus mematuhi sepenuhnya amalan kebersihan dan kawalan wabak penyakit oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedia ada,” ujarnya.