KUCHING: Seorang lelaki tempatan yang didapati bersalah mencederakan isterinya kerana cemburu dan marah kerana menukar status di Facebook dikenakan penjara lima bulan.

Hakim Mahkamah Seksyen Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad mengenakan hukuman terhadap Iswandi Abdullah, 24, mulai semalam.

Iswandi didapati bersalah kerana mencederakan isterinya berusia 23 tahun dengan menggunakan serpihan kaca botol.

Akibat itu, mangsa terpaksa menerima tujuh jahitan di belakang badan serta sembilan jahitan di bawah bibir.

Iswandi didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dilaporkan melakukan kesalahan itu di sebuah rumah sewa di Kampung Tupong Hulu Petra Jaya pada 11 Mac lalu.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian ketika berada di rumah sewa mereka, tertuduh tiba-tiba memarahi mangsa.

Dia juga cuba menyepak mangsa di muka dan menghentak belakang mangsa menggunakan serpihan kaca.

Tertuduh amat marah mangsa setelah mendapat tahu mangsa mengubah statusnya di Facebook kerana mencari kenalan baharu.

Mangsa yang mendapat kecederaan dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapat rawatan sebelum membuat laporan polis.

Sejurus itu, tertuduh ditangkap polis pada 11 Mac lalu dengan lapan butir serpihan kaca.

Doktor yang merawat mangsa dalam kenyataannya memberitahu mahkamah, mangsa mengalami luka di leher dan bawah bibir akibat serangan.

Timbalan Pendakwaraya Ruthra Raj hadir bagi pihak pendakwaan sementara tertuduh tidak diwakili peguam.