KUCHING: Majikan digalakkan untuk membayar gaji pekerja dalam tempoh perintah kawalan pergerakan susulan penularan wabak Covid-19 meskipun premis ditutup.

Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak menerusi satu kenyataan berkata, walaupun demikian, majikan boleh mengambil langkah dengan membenarkan pekerja untuk menggunakan sepenuhnya
kelayakan cuti tahunan semasa.

“Pekerja juga boleh memohon cuti tahunan berbayar sekiranya masih berbaki.

“Sekiranya pekerja tiada baki cuti tahunan berbayar maka pekerja boleh memohon cuti tanpa gaji atau lain-lain cuti, jika ada, mengikut terma dan syarat perkhidmatan,” katanya.

Menurut JTK Sarawak lagi, sekiranya majikan mengarahkan pekerja untuk bekerja dari rumah, pekerja adalah layak dibayar gaji sepanjang tempoh tersebut.

“Kita turut menggariskan beberapa langkah yang boleh diambil oleh majikan untuk kelangsungan operasi perniagaan dalam polisi dan Tatacara Keharmonian Perusahaan (Code of Conduct for Industrial Harmony – COC).

“Majikan boleh mengenakan pengurangan gaji, faedah dan waktu bekerja
dengan syarat telah mendapat persetujuan pekerja atau kesatuan sekerja,” jelasnya.

Dalam menghadapi saat-saat sukar ini, JTK Sarawak menasihatkan pekerja dan majikan untuk sama-sama berganding bahu dalam memastikan keharmonian perusahaan dapat dikekalkan.

“Ini membolehkan majikan meneruskan kelangsungan operasi perniagaan dan dalam masa yang sama tidak menafikan hak dan kebajikan pekerja,” ujarnya.