DARO: Peniaga diingatkan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati berikutan langkah kerajaan melaksana Perintah Kawalan Pergerakan mulai hari ini hingga 31 Mac depan.

ADUN N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, peniaga harus mematuhi arahan kerajaan dan tidak menjadikan Covid 19 sebagai alasan untuk mengenakan harga melampau sehingga membebankan pengguna sekaligus meraih keuntungan besar.

Sehubungan itu katanya, pemantuan berterusan perlu dilakukan oleh pihak yang berwajib bagi melindungi kepentingan pengguna sepanjang tempoh berkenaan.

“Saya berharap peniaga termasuk di pedalaman dan terutama luar bandar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan jualan sesuka hati.

“Pada masa yang sama, saya juga menasihatkan orang ramai agar jangan panik dengan membeli barang berlebihan, “katanya kepada Suara Sarawak.

Beliau berkata, masalah wabak Covid-19 memerlukan kerjasama semua pihak untuk sama-sama membendung daripada terus merebak.

Rakyat ujarnya, harus patuhi arahan yang dikeluarkan daripada kerajaan atau pihak berwajib dari semasa ke semasa.

“Elak dan kurangkan berkunjung ke tempat-tempat yang berisiko tinggi. Amalkan penjagaan kebersihan diri seperti kerap membersihkan tangan.

“Saya juga menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dan jangan mudah terperdaya dengan berita yang tidak sahih kerana di negeri ini mempunyai jawatankuasa khas di peringkat negeri untuk memantau gejala Covid-19 ini,” tambahnya.