KUCHING: Hospital Pakar KPJ Kuching mengesahkan terdapat kakitangannya dikuarantinkan selepas mengendalikan seorang pesakit yang positif Covid-19.

Dalam satu kenyataan semalam, Hospital Pakar KPJ Kuching memberitahu, seorang lelaki rakyat Malaysia telah mendapatkan rawatan di hospital berkenaan pada 14 Mac lalu kerana demam, batuk dan pening kepala.

“Pesakit berkenaan tidak mempunyai sejarah berkunjung ke luar negara serta berhubung dengan individu positif Covid-19.

“Beliau diperiksa di bahagian kemalangan dan kecemasan yang kemudiannya dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) pada hari sama kerana disyaki Covid-19,” katanya.

Tambahnya, pada 17 Mac, pesakit kemudiannya disahkan positif Covid-19 oleh pihak berkuasa.

“Berikutan itu, semua kontak dengan pesakit berkenaan diarah untuk diperiksa termasuk kakitangan kita yang kemudiaannya dikuarantin.

“Malah, bahagian kemalangan dan kecemasan telah dinyahkuman,” ujarnya.

Tegasnya, Hospital Pakar KPJ Kuching sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha membendung wabak Covid-19.