KUCHING: Kempen Melawat Malaysia (VM2020) dibatalkan sejajar dengan impak penularan wabak Covid-19 yang memberi kesan serta menjejaskan sektor pelancongan di Malaysia dan dunia.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkara itu berkuat kuasa serta-merta.

“Pembekuan semua perkhidmatan kaunter dan atas talian di Bahagian Pelesenan Pelancongan serta Pejabat MOTAC Negeri berhubung pelesenan pelancongan seperti pelesenan syarikat pengendali pelancongan, pemandu pelancong, Institut Latihan Pelancongan dan pendaftaran penarafan Premis Penginapan Pelancongan, SPA dan Pusat Urutan Kaki (PUK) adalah berkuatkuasa serta merta sehingga 31 Mac ini.

“Malah, pembekuan turut melibatkan semua urusan kaunter dan perkhidmatan atas talian bagi permohonan baharu, Pembaharuan Lesen Pengendalian Pelancongan, Pemandu Pelancong, Institut Latihan Pelancongan dan Pendaftaran Penarafan Premis Penginapan Pelancongan, SPA serta Pusat Urutan Kaki (PUK),” katanya menerusi satu kenyataan sebentar tadi.

Tambah Nancy, susulan perintah kawalan pergerakan, kesemua premis penginapan pelancong dibenarkan untuk beroperasi secara minimum.

“Namun, kesemua tetamu premis penginapan pelancong harus berada di dalam bilik penginapan mengikut tempoh kuarantin berkenaan dan tempahan sajian hendaklah dibuat secara perkhidmatan bilik.

“Proses pendaftaran tetamu (check-in) ke premis penginapan pelancong bagi tempoh perintah berkenaan adalah dibenarkan, tetapi dalam skala yang kecil dan terhad,” jelasnya.

Menurutnya lagi, tetamu premis penginapan pelancong yang terpaksa memanjangkan tempoh penginapan sepanjang perintah ini berkuatkuasa boleh mendaftar masuk ke premis penginapan pelancongan yang bersesuaian dengan bajet masing-masing.

“Bagaimanapun, pelancong domestik baharu yang ingin mendaftar masuk ke premis penginapan pelancong adalah tidak dibenarkan.

“Saya menggesa kepada orang ramai supaya mematuhi penjarakan sosial sepanjang perintah kawalan pergerakan yang sedang dikuatkuasa dan mendapatkan maklumat dari sumber yang sahih,” ujarnya.