KUCHING: Warga Sarawak tidak dibenarkan keluar dari negeri ini mulai 18 hingga 31 Mac ini, kata Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, warga Sarawak bagaimanapun dibenarkan masuk ke negeri ini (tertakluk kepada syarat Stay Home Notice selama 14 hari oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak) mulai tempoh yang sama.

“Bagi warga Semenanjung, Sabah dan asing pula, mereka tidak dibenarkan masuk ke Sarawak mulai 18 hingga 31 Mac 2020.

“Bagaimanapun, pengecualian diberi kepada mereka yang bekerja dalam sektor perkhidmatan penting di Sarawak dan tertakluk kepada syarat (Stay Home Notice selama 14 hari oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak),” tegasnya.

Malah, katanya, warga Semenanjung, Sabah dan asing dibenarkan keluar dari Sarawak dalam tempoh berkenaan.

Ujarnya, sebarang situasi atau senario selain daripada dinyatakan harus dirujuk kepada Bilik Gerakan Covid-19 JIM Sarawak dari semasa ke semasa.