KUCHING: Majikan digalak membayar gaji pekerja dalam tempoh perintah kawalan pergerakan susulan penularan wabak Covid-19 walaupun premis ditutup.

Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak menerusi satu kenyataan semalam berkata, walaupun demikian, majikan boleh mengambil langkah dengan membenarkan pekerja untuk menggunakan sepenuhnya kelayakan cuti tahunan semasa.

“Pekerja juga boleh memohon cuti tahunan berbayar sekiranya masih berbaki.

“Sekiranya pekerja tiada baki cuti tahunan berbayar maka, pekerja boleh memohon cuti tanpa gaji atau lain-lain cuti, jika ada, mengikut terma dan syarat perkhidmatan,” katanya.

Menurut JTK Sarawak lagi, sekiranya majikan mengarahkan pekerja untuk bekerja dari rumah, pekerja adalah layak dibayar gaji sepanjang tempoh tersebut.

“Kami turut menggariskan beberapa langkah yang boleh diambil oleh majikan untuk kelangsungan operasi perniagaan dalam polisi dan Tatacara Keharmonian Perusahaan (Code of Conduct for Industrial Harmony – COC).

“Majikan boleh mengenakan pengurangan gaji, faedah dan waktu bekerja dengan syarat telah mendapat persetujuan pekerja atau kesatuan sekerja,” jelasnya.

Dalam menghadapi saat-saat sukar ini, JTK Sarawak menasihatkan pekerja dan majikan untuk sama-sama berganding bahu dalam memastikan keharmonian perusahaan dapat dikekalkan.

“Ini membolehkan majikan meneruskan kelangsungan operasi perniagaan dan dalam masa yang sama tidak menafikan hak dan kebajikan pekerja,” ujarnya.

Ia ekoran pengumuman oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1987.

Berikutan itu, semua premis awam dan swasta ditutup kecuali tempat pekerjaan yang terlibat dalam perkhidmatan perlu (essential services) seperti air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengaliran, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.