KUCHING: Rakyat Sarawak harus memberi kerjasama sepenuhnya kepada usaha kerajaan yang komited membendung penularan wabak maut, Covid19.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia termasuk pematuhan perintah kawalan pergerakan sebagai langkah amat penting ketika ini.

“Kita sangat berterima kasih kepada rakyat Sarawak yang berdisiplin dan memberi kerjasama kepada penguatkuasaan terbabit.

“Ia diperlukan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah Uggah, pematuhan orang ramai kepada garis panduan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti mengamalkan penjagaan kesihatan tertinggi, menjauhkan jarak sosial dan kuarantin di rumah adalah langkah utama dalam mengawal penularan jangkitan Covid-19.

“Oleh itu, bersama-sama kita berkorban untuk memastikan objektif untuk mengekang Covid-19 akan tercapai. “Kita perlu belajar daripada rakyat China, Singapura dan Korea Selatan yang mempunyai disiplin tinggi serta memberi kerjasama dengan pihak berkuasa sehingga berjaya mengekang penularan Covid-19 di negara berkenaan,” jelasnya.

Tegasnya, di negara-negara yang kurang mengamalkan langkah pencegahannya menyebabkan kes Covid-19 meningkat tanpa terkawal.

“Maka, kita semua mesti bekerjasama menentang musuh negara dan global buat masa ini,” ujarnya.

Di bawah perintah kawalan pergerakan, pihak polis diarahkan membuat pengawasan dan penguatkuasaan di semua tempat awam.