SARIKEI: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya ketika mencari umbut apong di Sungai Mekam Sare, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, kehilangan mangsa Lingai Rabong, 78, dilaporkan di Balai Polis Jakar oleh anggota keluarganya pada 9 pagi.

Menurutnya, mangsa dilaporkan ke sungai terbabit untuk mencari umbut apong sebelum hilang.

“Penduduk turut menjumpai beberapa barang dipercayai milik lelaki terbabit di tepi sungai itu sebelum ternampak seekor buaya mengheret mangsa ke tengah sungai Mekam.

“Mereka kemudiannya bergegas memaklumkan kejadian berkenaan kepada keluarganya sebelum satu laporan di buat di Balai Polis Jakar,” katanya.

“Laporan kehilangan mangsa dibuat di Balai Polis Jakar sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan,” katanya

Beliau berkata, bomba ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 12.20 pagi.

“Anggota kita sudah digerakkan untuk melakukan SAR namun sehingga kini mangsa belum ditemui, ” ujarnya.