KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac adalah PKP kedua yang saya alami.

PKP pertama yang saya alami adalah perintah berkurung yang berlaku semasa zaman kanak-kanak saya di Sarawak. Ketika itu saya baru berusia dalam lingkungan 6 atau 7 tahun.

Namun, saya masih ingat diberitahu oleh ibu bapa saya bahawa terdapat perintah berkurung pada waktu malam untuk beberapa hari.

Kami tidak dibenarkan keluar dari rumah pada waktu malam dan kelibat askar melakukan rondaan masih segar dalam ingatan saya.

Walau bagaimanapun, kerana usia yang terlalu muda, saya tidak bimbang tentang makanan atau keperluan hidup.

Pada 18 Mac 2020, PKP diperkenalkan untuk tujuan yang berlainan dan bukan merupakan satu perintah berkurung.

Apabila PKP ini diumumkan, terdapat kekeliruan dalam kalangan orang ramai mengenainya. Saya dan ramai lagi yang meneliti setiap baris ucapan tersebut. Adakah ini satu arahan perintah berkurung?

Adakah perlu kami keluar membeli makanan dan segala keperluan asas dengan segera? Apakah yang perlu kami lakukan untuk pelajar kami dan kerja kami sebagai pakar kesihatan awam dalam universiti?

Tatkala rakan-rakan saya meneliti kandungan PKP tersebut, saya mendapat ilham untuk memberi nama baru kepada PKP kali ini.

Ada yang beranggapan PKP ini adalah Perintah Berkurung atau yang sering disebut lockdown atau curfew, namun itu ternyata tidak betul.

Saya menamakan PKP ini ‘Penjarakkan Sosial Paksaan’. Penjarakkan sosial adalah suatu langkah kawalan jangkitan untuk mengurangkan jangkitan dari seorang pesakit kepada orang lain.

Tujuannya adalah untuk meningkatkan jarak fizikal antara manusia atau mengurangkan kekerapan perkumpulan manusia dalam suasana padat seperti sekolah, universiti atau tempat kerja.

Penjarakkan Sosial Paksaan (PSP) adalah penjarakkan sosial yang terpaksa dilaksanakan oleh pihak pemerintah kerana penjarakkan sosial secara sukarela tidak diikuti sepenuhnya oleh orang ramai.

PSP ini mesti dilaksanakan kerana pandemik COVID-19 adalah sesuatu yang amat merisaukan masyarakat lantaran skala dan kepantasan ia merebak.

PSP berbeza dengan Perintah Berkurung. Perintah Berkurung bermaksud semua pergerakan keluar rumah mesti dihentikan, sedangkan PSP bermakna pergerakan kita adalah terhad dan bersyarat.

Apa yang penting, kita mesti patuhi PSP secara serius! Jikalau tidak, usaha ini adalah sia-sia sahaja.

Bagaimanakah kita hendak pastikan PSP ini berkesan? Antara yang utama, kita tidak sepatutnya mengambil kesempatan PSP ini untuk bercuti dan balik kampung.

Kita juga tidak perlu panik dan keluar membeli stok makanan di pasar raya dengan secara berlebihan. Kita juga tidak harus menghadiri acara sosial atau acara keagamaan.

PSP ini tidak mendiskriminasi mana-mana bangsa atau agama. Ianya jauh sekali bertujuan untuk menyusahkan kehidupan kita.

Tidak kisahlah jika sesuatu acara yang kita rancangkan itu hanya berlaku sekali dalam setahun. Kita jangan pentingkan diri kita sahaja. Fikirkan juga orang yang tersayang. PSP ini bertujuan untuk melindungi kesihatan kita semua terutama sekali golongan yang paling berisiko.

Ini termasuk anggota keluarga kita yang sudah berusia dan yang mempunyai masalah kesihatan seperti sakit jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi dan penyakit paru-paru.

Sikap mementingkan diri sendiri bermakna kita membahayakan kesihatan orang lain dan kesannya mungkin sesuatu yang kita sendiri tidak inginkan.

Dengan ini saya ingin menyeru semua warga Malaysia untuk mematuhi PSP ini secara serius dan mengurangkan interaksi fizikal kita dengan orang lain.

Kita boleh gunakan media sosial sebagai alternatif. Kita boleh gunakan masa lapang ini untuk mengeratkan hubungan silaturahim kita sesama keluarga di rumah, makan bersama dan menonton TV bersama.

Anggaplah ini sebagai satu khidmat negara yang kita semua boleh lakukan kerana mengurangkan kes COVID-19 akan mengurangkan kepenatan dan risiko jangkitan kepada wira tidak didendang kita yang sedang bertungkus lumus berusaha membendung wabak ini.

Ingatlah bahawa para pekerja kesihatan juga mempunyai keluarga masing-masing yang sentiasa bimbang akan keselamatan mereka. Namun demi negara, demi rakyat Malaysia, mereka terus berjuang dalam peperangan mencegah, menangani, mengubati dan menjaga mereka yang dijangkiti wabak COVID-19.

Walaupun ini merupakan sesuatu yang mungkin pelik, mengasingkan diri dari warga Malaysia yang lain bermakna kita membantu untuk menyelamatkan warga Malaysia.

Marilah kita jayakan PSP ini bersama untuk menyelamatkan negara yang kita cintai ini.-BERNAMA

Datuk Prof Dr Awg Bulgiba Awg Mahmud adalah Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Profesor Epidemiologi di Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Universiti Malaya