KUCHING: Polis dan Rela dilantik sebagai pegawai yang diberi kuasa di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) untuk memastikan orang ramai akur dengan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara.

Majlis Keselamatan Negara dalam satu kenyataan berkata, ia bagi meningkatkan lagi keberkesanan perintah kawalan pergerakan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berada di rumah sepanjang masa kecuali untuk memenuhi keperluan asas.

“Selain itu, amalkan penjarakan sosial dengan orang sekeliling untuk mengelakkan jangkitan Covid-19,” katanya.

Tambahnya, langkah susulan telah diambil bagi menyelaras dan memperincikan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

“Dalam memastikan keperluan orang ramai kepada perkhidmatan-perkhidmatan asas tidak terjejas sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan ini berkuat kuasa, perkhidmatan tertentu dibenarkan beroperasi.

“Orang ramai juga diminta untuk mematuhi semua peraturan yang telah diputuskan oleh pihak berkuasa,” jelasnya.

Jika terdapat pertanyaan lanjut berkenaan perkara ini, orang ramai boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri di talian 03-8888 2010.