KUCHING: Ibu bapa mahupun penjaga digesa memanfaatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (RMO) bersama anak-anak di rumah terutama musim cuti sekolah kini yang diteruskan sehingga 31 Mac depan susulan ancaman penularan COVID-19.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata dalam negara menghadapi ancaman penularan Covid-19 kini, perasaan risau dan ketakutan yang dialami oleh ibu bapa turut sama dirasai oleh kanak-kanak.

Jelasnya melalui tindakan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan Malaysia menjadikan pergerakan kini terhad sebagai usaha memutuskan rangkaian penularan COVID-19.

“Semua sekolah, taska, tadika, taman permainan telah ditutup, kanak-kanak ini juga sama sekali tidak dibenarkan melawat rakan-rakan mereka apatah lagi menjemput mereka bermain ke rumah.

“Maka dengan itu sebagai ibu bapa, mahupun golongan dewasa mereka perlu memastikan kanak-kanak ini dapat memahami keadaan semasa dan cuba untuk memastikan mereka berasa tenang di dalam rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui nasihat ringkas yang disampaikannya kepada masyarakat di laman Facebooknya Khamis lalu.

Ujar Fatimah yang juga Adun Dalat menjelaskan fakta ringkas yang mudah difahami mengenai COVID-19 perlu diterangkan sebaiknya kepada anak-anak kecil ini agar mereka terus fokus untuk kekal berada di dalam rumah dan tahu akan kepentingan tindakan tersebut.

“Penerangan ringkas perlu perlu di terangkan kepada anak -anak kecil ini mengenai sebab berlakunya sekolah ditutup, dan menjelaskan ia sebagai satu usaha terbaik untuk kekal selamat untuk masa ini.

“Buat ibu bapa inilah masa untuk mereka memastikan tahap nilai diri serta rutin anak-anak ini dimanfaatkan sebaiknya dalam mendisiplinkan mereka sebagai insan,” katanya.

Fatimah menjelaskan lagi aspek disiplin anak-anak kini perlu dimulakan di rumah melalui tempoh waktu tidur malam, waktu untuk bangun pagi, menunaikan solat, makan bersama-sama, belajar di dalam rumah, melakukan kerja rumah dan sebagainya.

“Nikmati saat-saat berharga ini bersama-sama keluarga dan teruskan berada di dalam rumah demi keselamatan diri, keluarga dan masyarakat,” tegasnya.