BANGKOK: Kementerian Kesihatan Awam Thailand menegaskan katil hospital mencukupi untuk menampung pesakit Covid-19. S

ebanyak 400 katil tersedia di hospital di Bangkok minggu ini, lapor Bangkok Post. Dr Somsak Akhasilp, ketua Jabatan Perkhidmatan Perubatan di bawah kementerian itu, memberitahu media bahawa orang ramai tidak mempunyai sebab untuk bimbang tentang kekurangan katil hospital menampung mangsa virus korona.

“Terima kasih kepada pengurusan sumber perubatan yang kuat. Kami yakin akan ada katil dan rawatan perubatan yang mencukupi bagi semua pesakit jika wabak mencapai tahap krisis,” kata Dr Somsak, yang berusaha meredakan ketakutan orang awam tentang keadaan sama seperti di Itali, dengan sumber perubatannya diliputi oleh skala wabak tersebut.

Menurut kementerian itu keadaan akan mencapai “tahap krisis” jika jumlah kes Covid-10 dimasukkan ke hospital melebihi 1,000 sehari. Sehingga Selasa, 177 kes dirawat di hospital. Antara mereka, 135 pesakit menerima rawatan di hospital negeri.

“Bermula hujung minggu ini, terdapat 400 katil yang ditetapkan untuk pesakit Covid-19 di Bangkok. Kementerian berkenaan bekerjasama rapat dengan semua hospital kerajaan, hospital Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA), hospital universiti, tentera dan swasta menyediakan katil untuk Covid-19 pesakit,” kata Dr Somsak.

Di ibu negara, Hospital Rajavithi, hospital BMA yang dibiayai kerajaan, bertindak sebagai pusat tumpuan menguruskan katil pesakit Covid-19 di hospital Bangkok. Kementerian itu menjangkakan kebanyakan pesakit Covid-19 ditemui di bandar besar, terutama Bangkok dan sekitarnya tempat 90 peratus daripada kes direkodkan ditemui setakat ini.

Di peringkat wilayah, kementerian memperuntukkan 5,000 katil di hospital negeri untuk kes Covid-19. Ia juga menghantar stok Favipiravir ke setiap wilayah dan menempah lebih banyak dari luar negara. Kementerian itu kini mempunyai 40,000 tablet ubat antiviral eksperimen dalam stok, mencukupi untuk 700 kes.