KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang semalam menjelaskan atur gerak aset tentera darat di jalan-jalan tertentu seperti yang tular di media sosial, sebenarnya adalah untuk latihan ketenteraan dan bukan untuk mengambil alih situasi terkini negara.

Beliau menegaskan penularan video yang menampakkan atur gerak aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu adalah hebahan maklumat yang tidak tepat.

“Berita bahawa ATM atau tentera telah mula bersiap sedia untuk mengambil alih situasi terkini negara adalah berita palsu.

“Semua pihak terutama mereka yang tidak bertanggungjawab dinasihatkan untuk berhenti menyebarkannya serta merta,” katanya dalam kenyataan semalam.

Affendi berkata berita yang tular itu tidak tepat kerana atur gerak aset tentera darat tersebut sebenarnya adalah untuk latihan ketenteraan dan diperintahkan untuk kembali semula ke kem masing-masing atas ketetapan Perintah Kawalan Pergerakan.

Sehubungan itu, beliau berkata kepimpinan tertinggi ATM memutuskan untuk beberapa perkara berkaitan operasi, latihan dan kursus, eksesais, pentadbiran dan logistik diperhalusi berdasarkan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Justeru, perkara yang melibatkan latihan ketenteraan ditangguh buat sementara. Bagaimanapun perkara melibatkan operasi dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara tetap akan dilaksana seperti biasa,” katanya.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang berita yang boleh mencetuskan kebimbangan dan panik dalam kalangan masyarakat.

Hari ini, tular di media sosial keberadaan beberapa kenderaan perisai ATM di jalan-jalan tertentu yang dikatakan untuk mengambil alih situasi terkini negara.– BERNAMA