KUALA LUMPUR: Laporan polis boleh dibuat terhadap majikan yang tidak tersenarai sebagai perkhidmatan perlu yang masih beroperasi dan mengarahkan pekerja hadir bekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam soalan lazim melibatkan kementerian itu berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan berkata jika majikan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan itu, ia adalah satu kesalahan jenayah.

“(Kesalahan) di bawah Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” menurut KSM.

Sementara itu, KSM berkata majikan dalam perkhidmatan perlu pula harus mengurangkan bilangan petugas yang hadir bekerja kepada tahap paling minimum atau sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah semasa, dalam tempoh itu.

Menurut kementerian itu, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac dalam usaha menangani wabak COVID-19, majikan juga perlu memastikan pergerakan pekerja terbabit dihadkan.

Perkara ini berdasarkan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Tambah KSM, majikan juga perlu menyediakan alat saringan suhu badan, mengambil bacaan suhu badan pekerja setiap hari serta memastikan pekerja mematuhi prosedur pencegahan COVID-19.

Selain itu, majikan hendaklah menyediakan cecair pembasmi kuman, melaksanakan proses sanitasi dan pembersihan perlu serta memastikan garis panduan amalan terbaik penjarakan sosial disediakan dan dilaksanakan.

Tegas KSM, majikan tersenarai dalam perkhidmatan perlu, berhak untuk tidak membayar gaji pekerjanya jika didapati enggan bertugas sepanjang tempoh ini.

KSM menyatakan majikan wajib membayar gaji penuh sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan pekerja bergaji harian dibayar mengikut kadar upahan yang telah dipersetujui antara majikan dan pekerja di dalam surat tawaran atau kontrak perkhidmatan atau surat kenaikan gaji terkini.

“Untuk pekerja yang upahnya tidak tetap maka kadar hariannya hendaklah tidak kurang daripada kadar gaji minimum seperti dalam Perintah Gaji Minimum 2020,” kata KSM.

Dalam tempoh itu juga, majikan boleh meminta pekerjanya untuk menjalankan kerja bersesuaian dari rumah, dan perlu membayar gaji pekerja berserta elaun yang berkaitan hendaklah dibayar.

KSM berkata sekiranya majikan enggan membayar gaji dalam tempoh tersebut, pekerja boleh mengemukakan aduan secara dalam talian melalui e-mel rasmi Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Majikan juga wajib membayar upah atau gaji pekerja di luar skop Akta Kerja 1955 / Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) / Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) kerana perkara ini telah termaktub dalam kontrak perkhidmatan yang dipersetujui antara majikan dan pekerja,” kata KSM.

Jelas KSM, majikan tidak boleh memaksa pekerja menggunakan cuti tahunan atau cuti tanpa gaji pekerja sepanjang tempoh ini kerana perintah telah dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Sebarang pertanyaan berhubung isu majikan dan pekerja boleh berurusan dengan Bilik Gerakan Pemantauan Pekerjaan COVID-19 KSM, menghubungi talian 03-8889 2359 / 8886 2409 / 8890 3404 atau e-mel jtksm@mohr.gov.my ; jtknsabah@mohr.gov.my ; jtknsarawak@mohr.gov.my  – Bernama