KUCHING: Pelajar Sarawak di Semenanjung Malaysia digesa untuk terus berada dalam kampus atau kediaman masing-masing sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan.

Menteri Kanan merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu sedemikian dalam satu hantaran di Facebook susulan isu pelajar Sarawak terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.

Tegasnya, semua pelajar Sarawak yang belajar di IPT dalam Kuala Lumpur dan Selangor dikehendaki balik ke kampus atau kediaman masing-masing.

“Malah semua perlu melapor diri kepada pihak pentadbiran IPT.

“Sila kekal berada di dalam kampus atau kediaman masing-masing sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan sehingga 31 Mac,” jelasnya.

Kata Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu lagi, semua pelajar Sarawak yang belajar di IPT luar Kuala Lumpur dan Selangor serta berada di KLIA atau KLIA2 dikehendaki melapor diri kepada Sekretariat Sarawak Volunteers dan Rumah Sarawak jika tidak dapat penerbangan balik ke Sarawak.

“Sila tangguhkan perjalanan balik ke Sarawak meskipun tiket penerbangan sudah dibeli.

“Sebarang maklumat lanjut tentang penerbangan anda, boleh diperolehi daripada syarikat penerbangan yang berkaitan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan agar orang ramai menjaga keselamatan dan kesihatan diri dan rakan dalam tempoh yang mencabar ini.

Berikut adalah nombor telefon Sekretariat Sarawak Volunteers.
013-895 0345 (Khairul)
012-462 9293 (Sakinah)
019-388 2984 (Dayang)