BINTULU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menahan seorang lelaki bersama sebungkus parcel mengandungi dadah bernilai RM102,050.00 di Terminal Bas, pada Selasa malam.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, operasi melibatkan pasukannya daripada cawangan Narkotik Kuching bersama Cawangan Penguatkuasaan Bintulu sekitar jam 9 malam.

Menurutnya, suspek sendiri telah hadir bagi menuntut parcel berkenaan yang telah dikenal pasti mengandungi dadah di lokasi kejadian.

“Suspek, seorang lelaki berusia 27 tahun berjaya ditahan sejurus hadir untuk membuat tuntutan terhadap barangan kes di terminal bas terbabit.

“Hasil siasatan mendapati bungkusan parcel itu mengandungi dadah jenis Methamphetamine seberat 2,041 gram bernilai sekitar RM102,050.00,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

DADAH… Dadah jenis Methamphetamine seberat 2,401 gram bernilai hampir RM102,050.00 dirampas

Dedah Halimah, siasatan lanjut mendapati parcel tersebut telah dihantar dengan menggunakan perkhidmatan kargo bas antara bandar dari Miri ke Bintulu.

Tambahnya, beliau percaya dadah itu untuk tujuan diedar serta dijual ke pasaran tempatan.

Susulan itu, katanya kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Halimah turut menyeru orang ramai untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan seperti rokok, minuman keras, mercum dan dadah melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana pejabat kastam yang berhampiran di semua negeri.

Ujar beliau, pihak JKDM sesungguhnya akan memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan.