KUCHING: Segera laporkan DBKU kepada melalui talian WhatsApp (016-886466) sekiranya ada kedai makan yang ingkar arahan dan masih meneruskan perniagaan selepas jam 8 malam.

Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Junaidi Reduan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap kedai tersebut. Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk di kawasan DBKU agar memberi kerjasama dengan mematuhi arahan dan perintah yang dikuatkuasakan oleh kerajaan sejak Rabu lalu bagi memutus rangkaian penularan wabak Covid-19.

“Sejak 18 Mac lalu, kami mengambil beberapa tindakan terutama menutup agensi seperti perpustakaan dan mengurangkan beberapa perkhidmatan. “DBKU masih beroperasi sebagai salah sebuah agensi penting dalam situasi ini. “Rondaan keselamatan oleh penguatkuasaan, pelesenan dan alam sekitar turut dilakukan bersamasama polis di beberapa kawasan seperti Petra Jaya, Metrocity, kawasan Jalan Samariang, Sukma Ria dan Bandar Baru Samariang,” katanya dalam sidang media di Depo DBKU baru-baru ini.

Beliau juga menjelaskan peniaga kedai makan boleh meneruskan perniagaan dengan memastikan tiada pelanggan makan di premis mereka. “Selepas jam 8 malam, peniaga kedai makan termasuk semua premis kedai runcit tidak boleh meneruskan perniagaan. Kita akan membuat rondaan di Satok, Petra Jaya, Demak Laut dan Santubong.

“Sehingga malam semalam terdapat lima peniaga burger masih meneruskan perniagaan di tepi jalan. “Kita mengarahkan mereka menutup operasi dan pulang ke rumah,” ujarnya.

DBKU jelasnya juga menubuhkan bilik gerakan 24 jam bagi memantau setiap kawasan DBKU agar semua orang patuh akan arahan yang ditetapkan.

“Kita akan bertindak bersamasama polis dan segala tindakan yang diambil berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) seperti diarahakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Mana-mana yang ingkar akan didenda sehingga RM1,000 atau penjara enam bulan atau keduaduanya sekali, jika sabit kesalahan,” tegasnya. Semalam beliau bersama-sama pihak berkuasa turut memantau beberapa kedai makan di kawasan Demak Laut.