BAU: Pusat tumpuan pengunjung, pasar Serikin melakar sejarah setelah kesemua 250 buah gerai tersebut kosong tidak berpenghuni, hari ini.

Keadaan tersebut sekaligus menjadikan kawasan berkenaan kelihatan tidak seperti kebiasaannya yang selalu penuh dengan aktiviti perniagaan penduduk dari dalam dan juga luar negara.

Susulan daripada itu, penduduk sekitar justeru akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sepanjang 18 Mac sehingga 31 Mac tahun ini.

Pegawai Khas N2, Jack Odin berkata, peniaga terutamanya dari kawasan Indonesia juga turut patuh dengan larangan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan agar sebarang aktiviti luar diberhentikan.

Katanya, keadaan kawasan tersebut kini sangat lengang tidak seperti biasa yang penuh dengan kehadiran peniaga.

“Tiada pengunjung dan kenderaan yang lalu lalang, hal ini menunjukkan rakyat sangat mematuhi arahan yang diberikan,” ujarnya.

LENGANG… Pasar Serikin kosong dan tiada aktiviti perniagaan dilakukan oleh warga penduduk