KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia sememangnya bersifat prihatin dan ini terbukti apabila semakin ramai pihak tampil, menghulurkan sumbangan kepada misi #MusaadahCOVID19 sejak digerakkan semalam, dalam usaha membantu petugas barisan hadapan, yang bertungkus-lumus mengekang penularan COVID-19.

Hakikatnya tugas yang mencabar dan menakutkan sememangnya menanti ‘barisan hadapan’ khususnya doktor, jururawat, kakitangan perubatan, mahupun tenaga di peringkat Kementerian Kesihatan (KKM) yang berisiko tinggi dijangkiti penyakti itu, yang dikatogerikan sebagai pandemik baru-baru ini oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Jika berlaku sedikit kesilapan dan kelalaian ketika melaksanakan tugasan, bermakna bahana besar bakal menanti mereka.

Tidak kiralah sama ada individu perseorangan, badan korporat melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), mahupun Organisasi Bukan Kerajaan (NGO), pendek kata kesanggupan rakyat menghulurkan bantuan #MusaadahCOVID19 kepada wira-wira tidak didendangkan ini, merentas pelbagai lapisan masyarakat demi kepentingan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah menggerakkan misi #MusaadahCOVID19, yang antara lain turut meringankan beban golongan asnaf sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini. Agensi-agensi di bawah kementerian itu, telah memulakan misi di Wilayah Persekutuan dan negeri lain yang telah dikenal pasti.

Antara yang tampil menyahut seruan misi itu, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang memperuntukkan RM1 juta dari Tabung Amanah YaPEIM, menerusi peruntukan Food Bank YaPEIM 2.0 bagi menjayakan misi #MusaadahCovid19, yang bermula Isnin hadapan.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini, seramai 2,000 keluarga kumpulan sasar, akan dikenal pasti di seluruh negara oleh pihak YaPEIM, sebelum barangan keperluan asas dan wang tunai disalurkan kepada penerima manfaat itu.

“YaPEIM melalui Pusat Pentadbiran YaPEIM Negeri (PPYN) dan pasarana YaPEIM’s Mart, akan melaksanakan misi ini secara berperingkat dengan mengenal pasti penerima, dan menyelaras kaedah saluran sumbangan selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan,” kata kenyataan itu.

Turut menyahut seruan, Pergerakan Puteri UMNO, yang tidak ketinggalan melancarkan misi bagi mengumpul dana untuk membantu golongan petugas kesihatan terlibat, sebagai tanda penghargaan kepada petugas awam barisan hadapan, dalam memerangi COVID-19.

Exconya, Dr Masliha Harun dipetik menerusi portal Umno-Online menjelaskan, sumbangan itu sangat bererti bagi petugas barisan hadapan dan sumbangan dana boleh dibuat melalui akaun Bank Kerjasama Rakyat 110071006115 atas nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Puteri.

Kerajaan Terengganu dan Selangor juga wajar dipuji, kerana tidak ketinggalan membantu petugas kesihatan di barisan hadapan, dengan menyalurkan bantuan yang terdaya.

Selangor hari ini mengumumkan menyediakan insentif ‘one-off’ sebanyak RM200 seorang dan bantuan makanan semasa bertugas, yang diluluskan kerajaan untuk membantu 6,000 petugas kesihatan di hospital-hospital seluruh negeri, dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.2 juta.

Manakala Terengganu pula menyediakan langkah membantu menjaga anak petugas dan kakitangan barisan hadapan, yang terpaksa akur dibekukan cuti dan bekerja lebih masa di waktu sebegini. Sememangnya ia merupakan pengorbanan yang besar, buat kakitangan barisan hadapan di samping terpaksa meninggalkan anak kecil dan sebagainya, ketika taska dan pusat penjagaan ditutup.

Di samping itu, negeri itu juga mengalu-alukan sumbangan dan bantuan orang ramai kepada petugas dan pesakit COVID-19, namun mestilah diselaras melalui pihak pengurusan Hospital Hulu Terengganu, bagi mengelakkan pihak tertentu daripada mengambil kesempatan di atas situasi yang sedang dihadapi negara, hari ini.

Hospital Hulu Terengganu di Kuala Berang merupakan Stesen Kuarantin, yang diisytiharkan melalui Warta Kerajaan Persekutuan bagi pesakit dalam siasatan (PUI) COVID-19.