KUCHING: Permohonan bantuan kewangan berjumlah RM600 yang dikendalikan oleh Perkeso dibuka kepada orang ramai mulai kelmarin.

Bantuan kewangan terbabit akan disalurkan kepada majikan yang kemudiannya membayar pekerja.

Bantuan ini diberi kepada pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji melalui Program Pengekalan Pekerjaan(ERP) di bawah Pakej Ransangan Ekonomi 2020.

Syaratnya ialah, semua majikan sektor swasta yang menggaji pekerja termasuk pekerja sambilan dan telah berdaftar serta sedang mencarum dengan SIP yang bergaji bulanan RM4,000 dan ke bawah sahaja layak diliputi dalam Program ERP.

Bagaimanapun, pekerja yang telah diberhentikan kerja di sektor awam atau bekerja sendiri (tidak mempunyai majikan) termasuk pekerja asing dan pegawai dagang tidak diliputi di bawah program ERP.

Tempoh permulaan liputan ERP selepas majikan mengeluarkan notis cuti tanpa gaji kepada pekerja mulai 1 Mac 2020 sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan oleh Perkeso.

Kadar bayaran bantuan kewangan adalah bergantung kepada tempoh notis mula cuti tanpa gaji. Majikan yang telah menerima peruntukan bayaran ERR daripada Perkeso secara bulanan, bertanggungjawab untuk mengkreditkannya ke dalam akaun pekerja dalam tempoh tujuh hari.

Maklumat lanjut, sila hubungi Talian Khidmat Pelanggan, 1-300- 22-8000 atau kemukakan pertanyaan anda menerusi email ke perkeso@perkeso.gov.my atau salurkan aduan/pertanyaan melalui facebook.com/perkeso.official.