PULAU BRUIT: Nasib seorang ibu tunggal yang kerugian selepas stor barang dan enjin padinya musnah dalam kebakaran di Kampung Penipah Pulau Bruit mendapat perhatian Ahli Parlimen P.206 Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab.

Sumbangan beliau disampaikan oleh Pegawai Pusat Khidmat P.206 Tanjong Manis, Sokri Morni.

Insiden yang berlaku pada 18 Mac, kira-kira 2.00 pagi itu, memusnahkan pelbagai barangan milik Zaiton Maseron, 55, yang disimpan dalam stor berkenaan.

Selain 30 guni padi, kejadian juga meranapkan satu unit mesin padi, tiga unit mesin rumput, dua unit pam enjin bot, mesin gergaji, pam air, pembuka skrew angin, 10 guni baja dan lain-lain lagi.

Ia mengakibatkan mangsa kerugian kira-kira RM10,000. Setakat ini, punca sebenar kejadian belum dikenalpasti.

Sehubungan itu, Yusuf berharap sumbangan berkenaan dapat meringankan beban Zaiton.

“Saya turut bersimpati dengan mangsa dan semoga beliau tabah dengan dugaan yang menimpanya, ” katanya.

Hadir sama Ketua Kampung, Haderi Teras.