BINTULU: Hari kelima Perintah Kawalan Pergerakan dilaksana menyaksikan keadaan bandar Bintulu lengang daripada kebiasaan.

Tinjauan Suara Sarawak di sekitar pusat bandar Bintulu mendapati keadaan tidak sesibuk seperti kebiasaannya.

Deretan kenderaan persendirian di pusat bandar termasuk taman-taman perumahan berdekatan, menunjukkan orang ramai tidak keluar dari rumah dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan seperti yang disarankan.

Kebanyakan kedai ditutup dan hanya farmasi,kedai runcit serta pasaraya sahaja kelihatan beroperasi.

Namun begitu, masih ada beberapa buah kedai kopi yang meneruskan operasi, walaupun dilarang untuk berbuat sedemikian.

Tinjauan di Pasar Utama Bintulu dan Tamu Bintulu, kawasan yang kebiasaannya sesak dengan pergerakan orang ramai, hari ini jelas sekali bertukar menjadi sepi.

Tiada aktiviti jual beli dilihat,namun, masih ada penjual yang ingkar dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan dengan masih menjalankan aktiviti jualan mereka.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia Daerah Bintulu terus mempertingkatkan kawalan, bagi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan dengan menjalankan sekatan jalan raya di beberapa lokasi di Daerah ini, yang dikenal pasti sebagai tempat tumpuan orang awam.

Ketua Polis Daerah Bintu berkata pemeriksaan itu melibatkan empat laluan utama yang dikawal 24 jam dengan bantuan pasukan Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan yang bermula jam 12 tengahari tadi.

Menurutnya, sekatan jalan raya ini dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai bahaya wabak COVID-19.

memasuki hari kelima MCO, tahap kesedaran dan pematuhan rakyat Daerah Bintulu dilihat amat memberangsangkan.

Beliau berharap menerusi kerjasama seperti itu,  tahap pematuhan dan kesedaran di kalangan peringkat masyarakat akan terus meningkat.

Beliau, bagaimanapun, tidak menafikan masih terdapat segelintir pihak yang masih belum memahami, malah, ingkar dengan arahan tersebut.