KUCHING: Ibu bapa mahupun penjaga digesa memanfaatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bersama-sama anakanak di rumah terutama musim cuti sekolah kini yang diteruskan sehingga 31 Mac depan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ketika negara menghadapi ancaman penularan Covid19, perasaan risau dan ketakutan yang dialami oleh ibu bapa turut dirasai kanak-kanak.

Jelasnya, Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan menjadikan pergerakan kini terhad sebagai usaha memutuskan rangkaian penularan Covid-19. “Semua sekolah, taska, tadika, taman permainan telah ditutup. Kanak-kanak juga tidak dibenar melawat rakan-rakan mereka apatah lagi menjemput mereka bermain di rumah.

“Sebagai ibu bapa mahupun golongan dewasa, mereka perlu memastikan kanak-kanak ini memahami keadaan semasa dan cuba untuk memastikan mereka tenang di dalam rumah,” katanya. Beliau berkata demikian melalui nasihat ringkas yang disampaikannya kepada masyarakat di laman Facebookny baru-baru ini.

Ujar Fatimah, fakta ringkas mengenai Covid-19 yang mudah difahami perlu diterangkan sebaik-baikya kepada anak-anak agar mereka fokus untuk kekal berada di dalam rumah dan tahu akan kepentingan tindakan tersebut.

“Penerangan ringkas mengenai sekolah ditutup yang merupakan usaha terbaik untuk kekal selamat perlu diterangkan kepada anakanak. “Inilah masa untuk ibu bapa memastikan tahap nilai diri dan mendisiplinkan anak-anak,” katanya.

Jelasnya lagi, disiplin anak-anak perlu dimulakan dari rumah melalui tempoh waktu tidur malam, bangun pagi, menunaikan solat, makan bersama-sama, belajar di dalam rumah, melakukan kerja rumah dan sebagainya.

“Nikmati saat-saat berharga ini bersama-sama keluarga dan teruskan berada di dalam rumah demi keselamatan diri, keluarga dan masyarakat,” tegasnya.