SEHINGGA 20 Mac 2020, Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan 130 kes baharu kes positif Covid-19, menjadikan keseluruhan 1,030 kes di negara ini. Sarawak mencatat tujuh kes baharu, menjadikannya 58 kes secara keseluruhan.

Ketika ini, Itali menjadi negara paling teruk terjejas di dunia. Berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada 9 Mac 2020, Itali mencatatkan sebanyak 9,172 kes jangkitan, menyebabkan negara itu kelam-kabut dan mengambil langkah drastik melaksanakan ‘Lockdown’ atau Perintah Berkurung.

Sehingga 10 Mac 2020, Itali mencatatkan sebanyak 631 kematian dengan 10,149 kes. Biarpun tidak melaksanakan Perintah Berkurung, Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin telah mengumumkan Langkah Kawalan Pergerakan sebagai usaha untuk memutuskan rantaian penularan wabak berkenaan. Langkah yang bermula 18 Mac itu akan berterusan hingga 31 Mac depan.

Dalam memastikan usaha ini berjaya, pihak polis telah diminta untuk menasihati orang ramai untuk kekal berada di dalam rumah. Mereka dibenarkan untuk mengambil tindakan undangundang termasuk menahan kelompok yang degil.

Tujuan perintah ini cukup molek, iaitu untuk mengurangkan penularan jangkitan serta memastikan penduduk negara ini tidak terdedah kepada situasi yang padat — yang boleh membentuk kluster jangkitan. Pun begitu, masih ramai yang ingkar dan tidak memahami arahan serius kerajaan ini.

Di Kuching misalnya, masih ada kilang-kilang yang beroperasi, dan pihak berkuasa terpaksa bertindak memaksa mereka menutup operasi. Difahamkan, ramai pekerja tidak dapat menerima arahan kilang untuk meneruskan operasi, namun membantah bermakna mereka berisiko dibuang kerja.

Sehubungan itu, pihak penguat kuasa diminta melakukan tinjauan sekerap mungkin di kawasan berkenaan ini untuk memastikan hanya kilang yang telah dibenarkan beroperasi yang dibuka. Kita tidak mahu Malaysia membuat kesilapan seperti yang dilakukan ltali? Selepas pengisytiharan kawalan pergerakan dilakukan oleh Itali, hampir 10,000 rakyatnya yang sudah terjangkit balik ke kampung.

Dan ini telah melebarkan keluk jangkitan ke kawasan perkampungan dan luar bandar. Seharusnya mereka kekal di tempat mereka berada, dan hanya duduk di dalam rumah. Biar bosan, ia adalah langkah perlu bagi memutuskan rantaian jangkitan yang membolehkan virus ini mencari perumah baharu.

Malangnya, masih ramai rakyat negara ini tidak melihat perkara itu sebagai penting, apabila mengingkari arahan kerajaan. Mungkin mereka tidak memahami erti sebenar perintah kawalan ini lantas mengemas barang dan balik kampung.

Ketahuilah, perintah kawalan bukanlah cuti khas atau hari rehat, tetapi masa untuk anda berkurung di rumah dan keluar jika terpaksa. Terdapat tiga simptom bagi pesakit yang terjebak dengan virus tersebut, iaitu demam, batuk yang amat teruk dan kesukaran untuk bernafas.

Oleh itu, sekiranya kita telah terdedah dengan orang atau pesakit yang disahkan terkena penyakit, segeralah ke hospital kerana kita tidak mahu disebabkan nila setitik susu sebelanga dicurahkan. Selain itu, bagi sesetengah golongan yang perlu bekerja, amalkan tahap kebersihan yang tinggi serta jaga jarak sosial.

Usah berdegil menentang langkah kerajaan ini kerana impaknya amat buruk sekali. Virus tersebut tidak nampak dengan mata kasar, dan kerana itulah kita tidak pasti di mana ia berada.

Oleh kerana ada yang masih berdegil, langkah kerajaan membenarkan tentera dalam pasukan penguat kuasa adalah amat wajar sekali. Jangan pula ada pihak yang bermain politik dengan langkah terbaharu ini.