SARIKEI: Kerjasama baik penduduk Sarikei mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan mendapat pujian ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Huang berkata, walaupun tidak secara keseluruhan, tahap kesedaran dalam kalangan penduduk daerah ini menunjukkan peningkatan selepas hari lima perintah itu berkuatkuasa.

Malah katanya, semakin ramai peniaga mematuhi arahan sekaligus menunjukkan mereka mulai sedar dan memberikan kerjasama terhadap usaha kerajaan mengekang penularan wabak Covid 19.

“Saya menyeru seluruh rakyat Sarikei agar mematuhi sepenuhnya perintah kawalan pergerakan dengan tinggal di rumah sepanjang tempoh penguatkuasaan ini.

“Kita faham langkah ini mungkin memberi kesan ke atas ekonomi tetapi ia terpaksa dilaksanakan demi kesihatan dan keselamatan rakyat. Kerajaan Sarawak ingin melindungi rakyat dan berharap penularan wabak Covid 19 diselesaikan secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menasihatkan penduduk agar tidak menghadiri sebarang perhimpunan, memakai topeng mulut dan hidung di samping mengutamakan kebersihan.

Pada masa yang sama katanya, mana-mana individu yang tidak selesa dan mempunyai tanda wabak Covid 19, perlu tampil segera untuk mendapatkan rawatan.

Huang turut memuji tindakan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg yang memberikan kerjasama baik dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha mencegah penularan wabak tersebut.

“Saya juga mendoakan semoga Ahli Parlimen P.208 Sarikei, Wong Ling Biu dan anaknya yang positif Covid 19 agar segera sembuh.

Begitu juga dengan seluruh rakyat Malaysia yang turut dijangkiti penyakit ini, mudah-mudahan mereka kembali pulih seperti biasa.

“Kepada semua mereka yang berada di barisan hadapan termasuk kakitangan hospital, Polis, JPJ, anggota Tentera, Bomba dan lain-lain-lain lagi… saya mewakili seluruh warga N.45 Repok ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangan dan pengorbanan kalian,” ujarnya.