KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menyediakan pasukan khas pengurusan jenazah mangsa wabak COVID-19.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Hakimah Mohd Yusoff berkata, pasukan itu telah diberi taklimat dan penerangan mengenai kaedah pengurusan jenazah berpandukan pandangan hukum yang diputuskan oleh Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Mac lepas.

“Muzakarah bersetuju supaya pengurusan jenazah mangsa COVID-19 mengguna pakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali ke-107, bertarikh 10 hingga 11 Februari 2015 mengenai Hukum Pengurusan Jenazah Orang Islam yang disyaki atau disahkan dijangkiti Virus Ebola (EVD) di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya pasukan khas pengurusan jenazah itu terdiri daripada 18 orang iaitu 12 lelaki dan lima wanita serta seorang penyelaras yang terdiri daripada pegawai Jakim, masjid-masjid utama di bawah Jakim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Menurutnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 16 Mac dan perkara itu telah disembah maklum dan mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah untuk diguna pakai di wilayah-wilayah persekutuan.

Katanya, pasukan khas itu telah menguruskan jenazah pertama yang merupakan mangsa korban COVID-19 yang ketujuh meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur semalam.

Kes ketujuh itu melibatkan seorang lelaki rakyat Malaysia berumur 57 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Vietnam dan merupakan kontak kes positif COVID-19 daripada kluster tabligh.